KUALA LUMPUR: Syarikat modal teroka global Antler meluaskan jejak antarabangsa di Malaysia menerusi perkongsian dengan dana kekayaan berdaulat, Khazanah, untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di enam buah benua, yang merangkumi Asia Tenggara dengan kehadiran sedia ada di Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Antler merupakan salah sebuah syarikat pelaburan peringkat awal yang paling aktif di peringkat global dan telah melabur dalam lebih 792 buah syarikat di 26 buah bandar raya di seluruh dunia dengan nilai portfolio terkumpul sebanyak AS$3.7 bilion.

Kerjasama bersama Antler merupakan pelaksanaan terbaharu bagi sebuah inisiatif di bawah Dana Impak dikenali sebagai 'Future Malaysia Programme' untuk menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Dana Impak ialah komitmen sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 5 tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Khazanah ‘Advancing Malaysia’ untuk memajukan Malaysia.

Pakatan strategik ini berfungsi untuk mencungkil dan memupuk bakat keusahawanan para pengasas syarikat dari Malaysia dan memberi mereka akses kepada platform dan rangkaian global Antler.

Langkah ini membolehkan mereka mengukuhkan diri sebagai syarikat penentu masa depan.

Dengan menggunakan rangkaian pelabur, pengasas dan penasihat global Antler, kerjasama ini akan membuka peluang baharu dalam dunia keusahawanan Malaysia, seterusnya mempercepatkan kemajuan para usahawan dan syarikat pemula Malaysia bagi mendorong mereka ke arah pengembangan dan kejayaan antarabangsa.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata kerjasama strategik bersama Antler membuka lembaran baharu dalam landskap keusahawanan Malaysia dan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Khazanah untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif dan berkesan.

"Ini menjadi satu lagi langkah ke hadapan untuk 'Future Malaysia Programme' yang bertujuan untuk mengembangkan idea dan perniagaan Malaysia supaya dapat berdaya saing di peringkat global.

"Kami akan terus mengenal pasti rakan kongsi berpotensi yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, kepakaran dan cadangan nilai strategik untuk menyertai kami dalam membentuk dan memperkasakan generasi usahawan Malaysia akan datang melalui program ini.

"Kami menawarkan sokongan menyeluruh sepanjang kitar hayat pendanaan, bermula daripada peringkat awal sehingga ke peringkat pembangunan," kataya dalam kenyataan hari ini.

Dengan pengkhususan dalam pelaburan 'Day Zero investing', Antler mengambil pendekatan tersendiri untuk memupuk kejayaan syarikat pemula.

Jenis pelaburan ini dapat membezakan Antler dengan program keusahawanan yang lain di mana ia komited untuk menyokong para pengasas syarikat sepanjang perjalanan mereka, bermula daripada peringkat awal sehingga ke Siri A dan seterusnya.

Ini termasuk sokongan dalam pemadanan pengasas bersama, pengesahan model perniagaan yang menyeluruh, penyediaan modal permulaan, bantuan pengembangan dan perolehan pembiayaan susulan.